Assalamualaikum...
Bulan November nak masuk bulan Disember, maka musim tengkujuh telah tiba di pantai timur. Mengimbau kenangan aku masa kecil-kecil dulu. Membesar di negeri Kelantan, memang tidak asing lagi dengan banjir pada hujung tahun. Bezanya banjir di kampung aku tidaklah seteruk sehingga terpaksa ke pusat pemindahan banjir, Alhamdulillah.
Di kala musim hujan, mak aku mesti beli ubi keling. Rebus. Makan panas-panas. Masih berbau lagi ubi keling. Lantas aku makan di tangga. Kulitnya ku buang ke dalam air banjir. Makan sambil melihat kulitnya hanyut bersama air banjir. Rindu.
Selain itu juga, mak aku masak ubi kayu. Rebus makan dengan nyor. Rindu.
Hujung tahun adalah masa aku nanti-nantikan. Selain dari cuti sekolah lama, aku juga menantikan musim hujan dan banjir, di mana sepupu-sepupuku juga pulang ke kampung. Adalah geng aku bermain hujan.
Bila hujan turun, air akan naik. Paling aku suka bila air melintasi jalan kampungku. Di situ banyak anak-anak ikan akan melintas jalan. Ada anak ikan haruan, ikan keli dan ikan puyu. Maka kami bergembira menangkap anak-anak ikan itu.
Tak kurang juga dengan lintah dan pacat. Aku geli!
Ayahku juga akan menahan pukat di tepi jalan, bersebelahan parit. Gembira bila lihat banyak ikan terlekat di pukat.
Mak aku, tipikal mak-mak akan melarang,
"Jangan main hujan, baju tak kering!"
"Pagi petang main hujan" sambil membebel. Rindu ehehehe.
Bila dah jadi mak-mak ni pun, aku pulak yang membebel bila anak-anak asyik main air, tukar baju, musim hujan baju tak kering padahal pergi keringkan kat dobi.
Itulah, sebenarnya aku rindu. K bye!